Transit Brunei Dari Sabah Ke Sarawak Bermotosikal

Menunggang motosikal dari Sabah ke Sarawak memerlukan kita memasuki negara Brunei. Urusan imigresen dan kastam bagi membawa motosikal ke negara Brunei adalah sangat mudah dan segalanya digital. Dua sistem yang perlu diisi sebelum memasuki pintu sempadan Brunei: 
  1. E-arrival card Brunei
  2. Entry and Exit System (EES)
Untuk EES, terdapat dua mod perjalanan yang perlu kita pilih. Jika tujuan kita melalui Brunei adalah untuk ke Sabah/Sarawak, pilih Transit. Jika kita bercadang untuk bermalam di Brunei, pilih Entry and Exit. Bayaran EES untuk motosikal adalah percuma.


Dari Sabah, saya menunggang motosikal menuju Sipitang dan kemudiannya tiba di Pintu Sempadan Sindumin-Merapok.

Urusan imigresen di sini mudah dan cepat. Semua urusan adalah melalui tingkap kaunter imigresen yang mana di kaunter yang sama, pasport saya dicop keluar Sabah dan dicop masuk Sarawak. 

Seterusnya perjalanan diteruskan ke kompleks ICQS Mengkalap. Mengkalap adalah pintu keluar negeri Sarawak untuk masuk ke negara Brunei. Sebelum ke sini, saya telah mengisi E-Arrival Card Brunei di pautan

Bagi yang membawa kenderaan, pemandu kenderaan perlu mendaftar di laman Web Entry and Exit System (EES) Brunei. Disebabkan hari ini saya bercadang untuk bermalam di Limbang, Sarawak, jadi mod perjalanan EES saya adalah transit. Gambar di bawah menunjukkan kod QR yang dijana oleh sistem EES berkenaan.


Selepas selesai urusan imigresen di Mengkalap, saya menunggang motosikal ke pintu sempadan Brunei, Labu Temburong. Menghampiri kaunter, pasport saya diperiksa dan saya menyerahkan kod QR E-Arrival Card Brunei untuk diimbas. Kemudian saya menunggang motosikal saya ke kaunter bersebelahan yang merupakan kaunter kastam. Pegawai kastam meminta saya menunjukkan EES Pass dan kod QR diimbas di mesin pengimbas.

Begitu mudah urusan di pintu sempadan ini. 

Seterusnya saya menunggang motosikal ke pintu sempadan Ujung Jalan. Urusan di sini juga mudah dan cepat. Passport saya dicop dan kod QR EES saya diimbas. Saya pun apa lagi, terus menunggang motosikal saya ke Pos Kawalan Imigresen Malaysia, iaitu Panduruan.

Pasport dicop dan saya dah masuk semula negeri Sarawak. Bandar terdekat di sini adalah Limbang dan saya bermalam di pekan ini. 






Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Mengisi petrol di Thailand

Ligor yang Penuh Sejarah

Membawa Motosikal Malaysia Memasuki Vietnam