Menunggang Motosikal Ke Thailand


Hari Pertama: 29 Januari 2014
Hari ini saya memulakan pengembaraan solo saya ke Negara Thai dengan bermotosikal.


Odometer awal saya menunjukkan KM 6856.



Jam 6:00 petang saya meninggalkan Ipoh dan menunggang ke utara.
Dalam perjalanan, saya sempat menguji mengambil gambar sendirian menggunakan tripod dan kamera yang dilengkapi fungsi timer di hentian sebelum terowong Menora.

Kemudian, saya singgah di R&R Sungai Perak untuk mengisi minyak motor.
 
Dalam pukul 11:00 malam, saya tiba di Alor Setar dan check-in di salah sebuah hotel di situ untuk berehat.
 
 
Hari Kedua: 30 Januari 2014
Seawal jam 7:30 pagi, saya pun check-out dari hotel dan bersedia untuk menunggang motor ke Utara.
Sebelum itu, saya bersarapan dahulu di salah sebuah gerai di tepi jalan. Harga makanan di sini murah-murah belaka.
 
Pukul 9:15 pagi, saya tiba di Changlun. Antara perkara yang perlu saya laksanakan sebelum memasuki Thailand adalah membeli insurans bagi motor saya. Proses ini perlu dilaksanakan kerana insurans sedia ada tidak sah di Negara Thai.
 
Di bawah ini adalah gambar dokumen-dokumen yang saya perolehi selepas membuat insurans Thailand tersebut. Harga keseluruhan proses ini adalah RM15.
 
Kemudian, saya pun meneruskan perjalanan ke pintu sempadan. Sebelum memasuki sempadan, saya singgah di stesen minyak paling utara di lebuhraya PLUS ini. Kesempatan ini saya ambil untuk mengisi minyak sepenuh-penuhnya kerana harga minyak di negara Thai 2 kali ganda lebih tinggi dari di Malaysia.
Kemudian saya pun meneruskan perjalanan ke pintu sempadan.
 
Pemeriksaan imigresen Malaysia adalah mudah dan cepat. Saya pun tiba di pintu sempadan Thailand.
 
Proses untuk cop passport di Thailand juga agak cepat. Cuma masa untuk mendeklarasi motor saya masa diambil agak panjang. Kebetulan pada masa ini adalah hampir dengan cuti Tahun Baru Cina, banyak bikers beratur untuk pendaftaran membawa masuk motor masing-masing. Majoritinya memakai superbike. Prosedur untuk mendaftar kenderaan adalah mudah saja. Saya perlu ke satu kaunter untuk kebenaran mengimport motor ke dalam Thailand. Tiada bayaran dikenakan. Seterusnya saya perlu ke kaunter lain untuk pengesahan.
Sebaik memasuki Dannok, saya mencari kedai makan.
 
Selepas makan tengah hari, saya mencari kad sim untuk membolehkan saya melayari Internet di negara ini. Ini penting kerana saya bergantung 100% kepada GPS pada telefon bimbit saya.
 
Kemudian saya pun terus menunggang motor saya menuju ke Hat Yai. Dalam perjalanan kelihatan masjid-masjid di tepi jalan.
 
Dalam pukul 11:30 pagi waktu Thailand, saya tiba di persimpangan ini di lebuh raya bernombor 4 ke utara Thailand.
 

Jam 12:15 tgh hari, saya tiba di kedai motor Thawin. Saya mendapat tahu di kedai ini ada dijual motorsikal KSR dan juga aksesorinya.
 
Sebaik memasuki kedai, saya tertarik dengan deretan motor KSR varian terbaru tahun 2014. Model ini belum ada di Malaysia.
 
Model baru ini dilengkapi dengan electric starter.

Saya pun mengambil kesempatan untuk memasang beberapa aksesori pada Tuxedo kerana harganya agak murah.
Selepas siap, saya pun meneruskan perjalanan ke Nakhon Si Thammarat pada jam 3:00 petang.
 

Dalam perjalanan, kelihatan banyak gerai menjual roti saimai. Roti saimai pernah saya beli semasa memandu ke Ayutthaya dahulu. Dan kini nampaknya makanan ini telah sampai ke selatan Thai. Saya singgah di salah sebuah gerai di sini.
 
 

Kemudian saya pun memandu lagi ke utara.
 
Jam menunjukkan pukul 4.30 petang. Di pertengahan perjalanan, saya mengisi minyak lagi di stesen minyak PTT (sebut: Pho To Tho). Dengan harga 140 Baht, saya cuma mendapat 3.4 liter minyak sahaja. Saya memilih minyak Gasohol 95.
Pada masa yang sama, di stesen minyak ini terdapat Cafe Amazon. Kafe ini adalah kafe favourite saya setiap kali memandu di Thailand. Lebuhraya di Thailand tidak mempunyai R&R seperti di Malaysia. Antara tetapi kebanyakan stesen minyak mereka (terutamanya Pho To Tho) mempunyai kafe, tandas yang bersih dan kedai serbaneka 7-Eleven.
Jam menunjukkan pukul 6:00 petang, saya masih ada 72 km untuk sampai ke pekan Nakhon Si Thammarat.
 
Jam menunjukkan pukul 6:50 petang. Masih ada 24 km untuk saya sampai ke Nakhon.
 
Saya rasa berdebar juga kerana hari mulai gelap. Tambahan pula, aplikasi GPS saya Waze tidak dapat mengesan lokasi hotel yang telah saya tempah hari itu. Setibanya di pekan Nakhon Si Thammarat, saya pun bertanya kepada seseorang akan lokasi hotel. Dengan berbantukan penerangannya, saya mencari hotel. Saya mendapat idea untuk menggunakan aplikasi Google Maps. Alhamdullilah, saya tiba juga di hotel dalam kegelapan malam.

 
 
Di bawah ini adalah gambar sebelum saya masuk ke bilik. Lega di hotel ini saya dapat parkir motor saya betul-betul di hadapan bilik.
 
 
Selepas berehat seketika, saya pun mencari makan malam di pekan Nakhon.
Selepas dinner, saya mencari gerai lain untuk minum malam. Saya dapati di sini mereka menghidangkan teh panas pekat di dalam cawan dengan air panas di dalam teko lain. Saya merasakan ini adalah idea yang baik untuk mereka yang inginkan teh yang lebih nipis serta mengawal kemanisan.

Selepas itu, saya pun balik ke hotel untuk berehat dan tidur.
Di bawah ini adalah pelan perjalanan saya sepanjang hari ini.


View Larger Map

Ulasan

  1. mengembara di Siam samada dgn motor atau kereta memang SYOK & KETAGIH!

    BalasPadam
  2. Salam....
    Suatu gambaran kembara yang terbaik...
    Namun saya cadangkan saudara nyatakan dengan jelas lokasi hotel dan kedai makan yang saudara singgah. Kalau ada koordinet lagi baik.

    Masalah utama pengembara yang baru ke Thailand ialah mencari lokasi kedai makanan muslim dan hotel berparking...

    Terima kasih

    BalasPadam
  3. Salam Zulmedia,
    terima kasih atas cadangan. Insya-Allah pada masa akan datang, saya akan cuba letakkan koordinat bagi tempat yang saya singgah.

    BalasPadam
  4. syok la bro keep it up
    gua budak kl rase nak join konvoi
    IN SYA ALLAH

    BalasPadam
  5. terbaik brader.. cuma nk bertanya tentang kelengkapan apa yg perlu dibawak jika nk kembara lebih dari 3 hari boss?
    terima kasih

    BalasPadam
  6. Kalo boleh buat group kembara bermotor... Leh join gak

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Ligor yang Penuh Sejarah

Membawa Motosikal Malaysia Memasuki Vietnam

Mengisi petrol di Thailand