Hari 1 & 2: Bergerak dari Ipoh ke Hat Yai

Hari Pertama (20/3/2014)
Hari ini saya akan memulakan perjalanan kembara solo saya ke Laos dengan bermotosikal. Sebelum memulakan perjalanan, saya servis dahulu motorsikal saya, Tuxedo. Risau juga kerana dari tengah hari, hujan turun membasahi Ipoh.
Selepas selesai servis motor, saya pun bergerak untuk memulakan perjalanan. Sebelum ini saya mencatat dahulu bacaan awal odometer Tuxedo.
 
Dalam perjalanan, saya kurang bernasib baik kerana tergelincir di salah satu selekoh semasa membuat pusingan-U. Akibatnya saya mengalami luka di bahagian tangan dan juga kaki.

 
Beberapa bahagian Tuxedo juga rosak.
 
Namun ini tidak mematahkan semangat saya untuk meneruskan perjalanan. Dalam kesakitan, saya mencari klinik untuk membalut luka tersebut. Bahagian kaki saya juga mengalami kesakitan.
 
Setelah luka tersebut dibalut, saya pun meneruskan perjalanan. Niat asal untuk bermalam di Kangar terpaksa dibatalkan kerana saya singgah di Hospital Alor Setar untuk berjumpa dengan seorang rakan doktor di sana. Setelah memeriksa, dia dapati tiada yang serius dan membenarkan saya untuk bermalam dan berehat di bilik doktor on-call.
 
Hari Kedua (21/3/2014)
Seawal jam 6:00 pagi, saya pun bangun dari tidur dan membersihkan luka. Dalam hati tertanya-tanya adakah ini petanda buruk ride saya kali ini? Namun saya menguatkan semangat untuk bergerak ke utara. Selepas mengucapkan terima kasih kepada rakan saya, saya pun memulakan perjalanan ke pintu sempadan.
Sebaik tiba di Changlun, saya membeli insurans motor untuk membolehkan saya menunggangnya di negara Thai.
 
Harga biasa untuk seminggu adalah RM16. Tetapi disebabkan ride saya ini memakan masa lebih dari seminggu, orang kedai tersebut mencadangkan saya membeli insurans untuk sebulan iaitu RM40. Ini kerana harga insurans untuk 2 minggu tidak dijual. Setelah selesai urusan membeli insurans, saya pun bergerak ke pintu sempadan.
Saya mengisi minyak penuh di stesen BHP ini yang merupakan stesen minyak paling utara di lebuhraya PLUS. Jam 9:00 pagi, saya tiba di pintu sempadan untuk pemeriksaan imigresen. Imigresen Malaysia selesai dalam hanya beberapa minit. Akan tetapi, sebaik tiba di pintu sempadan Thai, saya dapati barisan pengunjung yang beratur agak panjang.
 
Terdapat banyak juga rider superbike dari Malaysia yang sedang beratur. Lebih kurang hampir sejam, barulah urusan imigresen saya selesai. Sebaik memasuki sempadan, saya mencari kedai telefon untuk top-up kredit no telefon Thai saya bagi membolehkan saya melayari internet di negara ini.
 
Selepas itu saya meneruskan perjalanan ke Hat Yai. Lokasi pertama adalah stesen keretapi Hat Yai. Ini kerana saya akan membawa Tuxedo ke Bangkok dengan menaiki keretapi.
 
Prosedur di Thailand untuk membawa motorsikal dengan menaiki keretapi adalah pembawa perlu menaiki keretapi sekali. Harganya pula bergantung kepada berat motor. Jadi untuk memudahkan urusan, saya telah cetak brochure motorsikal saya dari website kawasaki sebelum bergerak tempoh hari.
Harga tiket penumpang untuk kelas 2 tempat tidur berhawa dingin dari Hat Yai ke Bangkok adalah lebih kurang RM90.
 
Setelah mendapatkan tiket ke Bangkok, saya bergerak pula ke kaunter khas untuk pembelian tiket awal.
 
Saya menempah tiket perjalanan dari Bangkok ke Ubon Ratchathani, Nong Khai ke Bangkok dan Bangkok ke Hat Yai. Akan tetapi, tiket ke Ubon Ratchathani hanya tinggal kelas 2 tempat duduk berkipas. Mahu tidak mahu, saya membelinya. Gambar di bawah menunjukkan semua tiket tren yang telah saya tempah untuk perjalanan selanjutnya nanti.
 
Memandangkan tiket tren saya adalah pada lewat petang, saya pun ke kedai Thawin Motor untuk membeli aksesori bagi menggantikan beberapa aksesori Tuxedo yang rosak akibat kemalangan semalam.
Selepas itu saya pun balik semula ke stesen keretapi untuk menguruskan penghantaran Tuxedo ke Bangkok. Untuk itu saya perlu membawa motor saya naik ke bahagian penghantaran barang. Pegawai di situ akan meminta geran dan passport. Dia juga mengesahkan berat motorsikal saya dari salinan brochure yang saya bawa. Selepas selesai, saya dikehendaki membayar RM95 untuk penghantaran tersebut.
 
Saya juga perlu membayar 20 Baht untuk membeli tali bagi mengikat motor berserta tips sebanyak 50 Baht kepada orang yang mengangkat motor saya.

Tepat pukul 6:00 petang, lagu kebangsaan Thailand berkumandang di stesen ini.


Jam 6:30 petang, tren saya masih belum tiba. Keadaan agak kelam kabut kerana banyak tren yang lalu dan apabila bertanyakan kepada kaunter pertanyaan, mereka mengatakan tren saya belum tiba.
Pukul 6:50 petang, tiba sebuah kereta api dari Sungai Kolok. Motor saya pun diangkat masuk ke dalam tren itu. Ketika saya bersiap untuk menaiki tren itu, pegawai memaklumkan bahawa itu bukan tren saya. Saya berasa agak pelik kerana motor saya sudah pun diangkat ke dalam.
 
Tren itu berlepas meninggalkan stesen dan saya dalam keadaan terpinga-pinga.
Saya pun kembali ke kaunter pertanyaan dan dia mengesahkan bahawa tren saya sedang dalam perjalanan. Jam 7:10 malam, satu lagi tren dari Sungai Kolok tiba dan itulah rupanya tren saya. Saya berasa lega dapat menaiki keretapi ke Bangkok. Perjalanan ini akan memakan masa 12 jam.
 
Dalam tren, saya pun makan makanan yang dibungkus semasa di stesen iaitu nasi pulut dengan ayam goreng dan daging.
 
Jam 8:00 malam, tempat duduk saya ditransform menjadi tempat tidur.
 
Jam 9:30 malam, saya mula melelapkan mata dengan harapan luka dan kesakitan saya akan berkurangan pada hari esok.
 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Mengisi petrol di Thailand

Ligor yang Penuh Sejarah

Membawa Motosikal Malaysia Memasuki Vietnam