Wat Khun Samut Trawat
9.00 AM
Memandangkan saya mempunyai kenderaan sendiri, saya bercadang untuk mengembara ke tempat yang susah dikunjungi tanpa kenderaan sendiri. Hari ini saya akan ke kawasan Phra Samut Chedi iaitu lebih kurang 40 km dari Bangkok. Selepas keluar dari Bangkok, jalan ke sini melalui jalan kampung. Dari jalan besar, saya melalui satu pintu gerbang ini.
Selepas itu, saya dapati jalan ini banyak melalui kawasan penuh air ini.
Kemudian saya melepasi pintu gerbang yang kedua. Di papan tanda tersebut tertera ayat "Song Phra Jaren" yang bermaksud "Dirgahayu Tuanku". Papan tanda seperti ini banyak terdapat di negara Thai. Sayang betul mereka kepada Raja mereka. Selepas ini jalan agak kecil.
Tidak jauh dari situ, saya pun tiba di jeti untuk ke Ban Khun Samut Chin. Saya pun parkir kereta saya di tepi jalan.
Selepas itu saya cuba mendapatkan bot ke Ban Khun Samut Chin. Selepas berbincang dengan pemilik bot, dia bersetuju untuk membawa saya ke sana dengan harga 220 Baht pergi dan balik untuk sebuah bot.
10.45 AM
Saya juga dapat melihat jeti kecil dan rumah-rumah kayu. Kebanyakan rumah dibina di atas tiang.
Pada masa yang sama, saya juga terserempak dengan bot lain yang membawa penduduk kampung. Inilah cara mereka bergerak di sini kerana tidak terdapat jalan raya di kawasan ini.
11.00 AM
Lebih kurang 15 minit menaiki bot, saya pun tiba di jeti Ban Khun Samut Chin. Pemandu bot tidak menunggu kami. Saya menyatakan kepadanya supaya kembali mengambil kami satu jam selepas ini. Dia pun bersetuju dan berpesan bahawa untuk ke Wat Khun Samut Trawat, kami boleh menaiki basikal secara percuma. Rupanya inilah basikal yang dimaksudkan. Pihak kerajaan telah menyediakannya secara percuma.
Saya dan rakan pun menaiki basikal tersebut.
Kami berbasikal melalui kawasan terusan. Saya melalui kawasan tengah terusan dan di bawah ini adalah gambar rumah salah seorang penduduk di situ.
Lebih kurang 2 km berbasikal, kami tiba di kawasan berpaya ini.
Saya pun tiba di Wat Khun Samut ini. Jika dilihat, tiada apa yang menarik pada kuil ini. Dindingnya pun kelihatan lusuh dan berlumpur.
Selain itu, pokok bakau juga memenuhi kawasan tepi kuil.
Namun bahagian bumbung kuil masih dalam keadaan baik termasuk ukirannya.
Sebenarnya,kuil ini telah berada di dalam kawasan laut akibat hakisan pantai. Jadi, untuk mengelakkan air laut memasuki kuil, lantai kuil ini telah dinaikkan dari kedudukan asalnya. Tidak hairanlah kuil ini diberikan nama jolokan "Temple of The Sea".
Gambar di bawah menunjukkan lantai kuil telah ditinggikan.
Lantai kuil ditinggikan sehingga melebihi paras bawah tingkap. Ini semua disebabkan oleh hakisan pantai.
Penduduk kampung Ban Khun Samut Chin ini juga telah berkali-kali memindahkan rumah mereka. Selepas melawat kuil, saya ke bahagian pantai. Kelihatan pihak kerajaan telah membina tembok untuk melindungi kuil tersebut.
Kelihatan bot penduduk menyusuri laut untuk mencari rezeki.
Di bahagian pantai juga kelihatan rumah penyembahan yang dipenuhi patung-patung kecil seperti yang saya temui di Sukhothai dan Si Satchanalai tempoh hari.
Kemudian, saya pun bersiap-siaga untuk kembali ke jeti kerana sudah hampir satu jam berada di sini. Sebelum berbasikal balik, saya ternampak krematorium ini. Di sinilah agaknya mayat penduduk kampung ini dibakar.
Seterusnya, saya pun berbasikal semula ke jeti.
12.00 PM
Tepat pada masanya, pemandu bot tiba di jeti dan membawa saya dan rakan-rakan ke jeti asal tempat parkir kereta.
Selepas menghilangkan dahaga, saya pun memandu ke Samut Songkhram untuk melihat pasar di atas landasan kereta api.
Ulasan
Catat Ulasan