Pasar Mae Klong Atas Landasan

12.30 PM

Saya pun memandu kereta menghala ke Mae Klong untuk melihat pasar di atas landasan keretapi yang terletak lebih kurang 50 km dari Phra Samut Chedi ini.

1.15 PM

Saya melalui pintu gerbang Samut Sakhon.

1.45 PM

Saya melalui pula pintu gerbang Samut Songkhram. Di daerah inilah terletaknya pasar di atas landasan kereta api itu.

Dalam perjalanan, saya lihat banyak terdapat perusahaan memproses garam dari air laut. Kincir angin juga banyak terdapat di sini.

2.15 PM

Saya pun tiba di pasar Mae Klong ini.

Pasar ini terletak di atas landasan kereta api yang masih digunakan. Pelbagai barangan boleh didapati di sini antaranya, sayur-sayuran segar, hasil laut, kuih-muih, selipar malah CD dan DVD.

Saya tertarik melihat manisan kecil ini. Setiap satu berharga 5 baht sahaja.

Ini juga menarik perhatian saya. Katak panggang. Yang ini harganya agak mahal berbanding manisan tadi. Setiap satu 40 baht termasuk sambalnya.

Saya menyusuri pasar ini sehingga ke penghujungnya. Agak panjang juga. Gambar di bawah diambil di penghujung pasar ini.

Beginilah keadaan pasar ini. Ada peniaga meletakkan hasil jualan mereka di atas tanah bersebelahan landasan.

Bagi yang menjual di atas meja troli beroda ini, terdapat landasan dibuat untuk memudahkan mereka menarik hasil jualan ketika ketibaan kereta api.

2.25 PM

Jam menunjukkan pukul 2.25 petang, kereta api dijangka melalui pasar ini tepat jam 2.30 petang. Saya dengan sabar menunggu.

Tidak lama kemudian, kedengaran siren kereta api dan peniaga-peniaga sibuk menarik hasil jualan mereka ke tepi. Payung-payung juga dilipat.

Tepat pada masanya, kereta api pun tiba dan melalui pasar. Masa seolah-olah terhenti dengan hanya kereta api yang bergerak melalui pasar.

Kelihatan pelancong-pelancong lain sibuk mengambil gambar dan video. Saya turut mengambil kesempatan merakam video.

Sebaik sahaja kereta api melalui pasar, peniaga menolak semula jualan, membuka payung yang dilipat dan keadaan menjadi seperti sedia kala.

Di bawah ini saya kongsikan video yang sempat saya rakam semasa kereta api melalui pasar.

Sebenarnya, ini adalah kali kedua saya melawat pasar ini. Dahulu saya ke sini dengan menaiki bas, kali ini saya memandu kereta sendiri pula. Pengalaman di pasar ini memang menyeronokkan. Selepas melawat pasar Mae Klong ini, saya bercadang untuk memandu ke Amphawa pula yang terletak berdekatan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Ligor yang Penuh Sejarah

Membawa Motosikal Malaysia Memasuki Vietnam

Mengisi petrol di Thailand