Hari 2: Dapeng Fortress

20 Disember 2012

Hari ini seawal jam 6:00 pagi saya telah keluar dari hotel dan bergerak ke perhentian bas Yinhu untuk mengambil bas pagi ke Dapeng yang terletak kira-kira 60 km dari Shenzhen. Tunggu punya tunggu akhirnya jam 6:30 pagi bas pun tiba.

Berbanding bas ke Dongmen semalam, bas ini mempunyai konduktor. Saya memberitahunya ingin ke Dapeng dan tambang adalah 20 Yuan (RM10). Perjalanan ke Dapeng memakan masa sejam dan melalui lebuh raya, terowong dan kawasan tepi laut.

Jam 7:45 pagi, saya tiba di pekan Dapeng. Dari situ yang perlu mengambil tuk-tuk untuk ke Dapeng Fortress. Sekali lagi bahasa menjadi masalah. Mujurlah dalam itinerary, saya telah menyalin nama Dapeng Fortress dalam tulisan Cina iaitu 大鹏城. Setelah menunjukkannya kepada pemandu tuk-tuk dia memberitahu saya tambang ke situ dalam bahasa Cina juga. Saya tidak memahami kata-katanya dan akhirnya saya mengeluarkan aplikasi kalkulator dari Ipad saya dan memintanya menaip tambang. Dia menaip angka 10. Saya pun menaiki tuk-tuk tersebut dan terus ke Dapeng Fortress.

Pemandu tuk-tuk
Sebaik turun dari tuk-tuk saya dapati suasana di kawasan ini agak sunyi. Saya mengambil kesempatan untuk bergambar.

Dapeng Fortress ini merupakan kawasan perkampungan yang dikellilingi tembok. Tembok ini dibina pada zaman dahulu untuk melindungi kampung ini dari serangan lanun.

Pintu selatan Dapeng Fortress
Semasa saya tiba di sini, Dapeng Fortress ini sunyi sepi tanpa pengunjung. Kaunter tiket pun masih ditutup. Jadi saya pun terus masuk ke dalam perkampungan ini melalui pintu selatan secara percuma.

Sebaik masuk ke dalam, saya tertarik dengan rekabentuk bangunan di sini. Nampaknya kedai-kedai masih lagi ditutup dan kelihatan beberapa penjual yang baru hendak memulakan perniagaan.

Dapeng Fortress waktu awal pagi
Lorong yang masih sunyi
Gerai menjual sarapan pagi
Berdekatan pintu utara Dapeng Fortress ini terdapat sebuah gerai yang menjual sarapan pagi. Saya singgah sebentar untuk menikmati kopi panas.

Selepas menikmati kopi panas, saya meninjau kawasan sekitar pintu utara Dapeng Fortress.

North Gate
Di bahagian sisinya terdapat tangga ke atas. Dari bahagian atas tembok ini terdapat bukaan tingkap.

Tangga di North Gate. Anjing ini dari tadi mengekori.
Selepas itu, saya pun turun ke bawah.

Di sebelah timur perkampungan ini kelihatan penduduk-penduduknya bercucuk tanam

 

Sebelum keluar dari Dapeng Fortress, saya dapati pengunjung mulai ramai dan kedai-kedai mula dibuka.

Gerai menjual kuih-muih

Selepas membeli sedikit cenderamata, saya pun meninggalkan Dapeng Fortress pada pukul 10:00 pagi dan menunggu bas ke pekan Dapeng.

Menunggu bas dari Dapeng Fortress
Kira-kira 15 minit, bas pun tiba. Gambar di bawah diambil semasa di dalam bas dari Dapeng Fortress ke pekan Dapeng.

Selamat tiba di pekan Dapeng dan menunggu bas ke Yinhu
Setibanya di pekan Dapeng, saya menunggu bas bernombor E11 untuk kembali ke Yinhu. 15 minit menunggu, bas pun tiba dan saya pun terus naik.

Dalam perjalanan balik ke Shenzhen, bas melalui lebuh raya yang sama dan beberapa terowong.

Plaza tol
Bas memasuki terowong
Kira-kira jam 11:30 pagi, bas tiba di Shenzhen. Bangunan samar-samar dalam gambar di bawah ini adalah bangunan Diwang (sebelah kiri) dan hotel St. Regis yang merupakan antara bangunan tertinggi di Shenzhen.

Penjual buah
Saya tiba di hotel jam 12 tengah hari dan mempunyai 2 jam untuk berehat kerana waktu check-out adalah jam 2:00 petang.

 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Mengisi petrol di Thailand

Ligor yang Penuh Sejarah

Membawa Motosikal Malaysia Memasuki Vietnam