Hari 3: Tiba di Guilin dan Menyusuri Sungai Li

21 Disember 2012

Saya bangun dari tidur seawal jam 6:00 pagi. Saya masih lagi di atas berth tingkat atas. Saya pun turun ke bawah, mencuci muka dan gosok gigi dengan air yang sangat sejuk. Saya cuba meninjau keadaan cuaca di Guilin. Daripada aplikasi di bawah, suhu di Guilin telah turun ke 3 darjah celcius.

Saya sempat merakam beberapa pemandangan semasa dari dalam tren pada pagi ini.

Kebanyakan rumah dinding luarnya tidak disimen
Matahari mulai terbit, berdasarkan peta destinasi saya masih jauh lagi. Saya menjangkakan tren lewat tiba di Guilin.

Jam menunjukkan pukul 8:15 pagi dan tren sepatutnya sudah tiba di Guilin tetapi belum juga sampai. Saya pun bergerak dari gerabak ke gerabak menuju ke koc kafe untuk sarapan pagi.

Coffee dan biskut famous amos
Koc soft-sleeper
Jam 9:30 pagi baru saya tiba di Guilin. Tren kelewatan hampir 2 jam. Sebaik turun dari tren, saya merasai kesejukan walaupun sudah memakai baju 3 lapis.

Semalam semasa di Shenzhen, saya sudah pun membeli tiket tren ke Nanning untuk perjalanan esok hari jam 10:20 AM. Saya membuat keputusan untuk menukar tiket tren kepada perjalanan yang lebih awal risau-risau tren esok juga akan tiba lewat di Nanning kerana saya perlu mengejar tren ke Hanoi pula dari sana.

Saya pun terus ke kaunter penukaran tiket dan lega dapat menukar tiket esok kepada pukul 9:15 pagi secara percuma.

Di hadapan stesen kereta api Guilin
Sebaik sahaja saya keluar dari stesen kereta api, saya didatangi beberapa tout yang menawarkan teksi ke Yang Shou. Saya tidak berminat untuk ke situ sebaliknya mencari bas ke Yangdi. Seorang wanita menawarkan bas ke sana dengan tambang 25 Yuan. Selepas tawar-menawar, dia bersetuju dengan tambanga 20 Yuan.

Wanita yang berjaket merah ini yang menawarkan bas sedang mengejar bas ke Yangdi
Saya pun terus naik bas yang sudah dipenuhi penumpang. Lega dapat tempat duduk. Bas ini membawa saya ke Yangdi Lukou. Berkali-kali wanita jaket merah itu mengingatkan saya supaya "keep your bags". Risau juga.

Lega mendapat tempat duduk. Di hadapan saya adalah pelancong dari Mongolia
 

Sejam perjalanan dari Guilin, iaitu jam 11 pagi, saya tiba di Yangdi Lukou. Hanya saya, rakan dan pelancong Mongolia saja yang turun di sini. Rasa sunyi juga tempat ini. Saya terasa agak terasing.

Menyeberangi jalan di Yangdi Lukou menuju ke perhentian bas ke Yangdi
Semasa menunggu bas, saya berkenalan dengan pelancong Mongolia tersebut. Lega dia dapat berbahasa Inggeris. Dia turut mengingatkan saya supaya menjaga beg-beg saya. Terdapat juga beberapa wanita menanyakan lokasi kami hendak pergi. Mereka juga mengingatkan saya supaya menjaga beg. Tempat ini ramai pencuri beg ke?

Cuaca di kampung ini sangat sejuk. Terasa ingin menyertai sekumpulan lelaki yang sedang mengelilingi api untuk memanaskan badan.

Memanaskan badan dengan duduk mengelilingi unggun api
Kira-kira 20 minit menunggu, bas ke Yangdi pun tiba.

Konduktor bas mengutip tambang 3 Yuan
Dalam perjalanan bas melalui jalan sempit dan kawasan kampung. Jam 11:40 pagi, saya tiba di Yangdi.

Saya pun turun dari bas dan mula mencari rakit untuk menyusuri Sungai Li ke Xing Ping.

Tiba di Yangdi. Pelancong Mongolia cuba tawar-menawar dengan pemandu rakit.
Saya juga turut didatangi beberapa peniaga yang menjual cenderamata dan buah-buahan. Dalam keadaan kesejukan dan pening mencari rakit, saya tidak berminat dengan jualan mereka.

Pintu gerbang Yangdi berserta beberapa penjaja
Mencari rakit
 

Rakit di Yangdi Pier
Mula-mula seorang pemandu rakit di sini menawarkan rakitnya dengan harga 400 Yuan. Setelah tawar-menawar, dia bersetuju dengan harga 250 Yuan.

Pemandu rakit
12:15 tengah hari, rakit meninggalkan Yangdi pier dan menyusuri Sungai Li.

Sungai Li turut dipaparkan dibelakang not 20 Yuan
Ketika menyusuri Sungai Li, saya teringat akan Halong Bay yang pernah saya lawati 2 tahun lalu di Vietnam. Akan tetapi pemandangan di sungai ini lebih menakjubkan.

Gunung-ganang menyerupai jari manusia
Rakit menyusuri Sungai Li
Semasa rakit berhenti rehat, saya mengambil kesempatan merakam keindahan Sungai Li dengan menggunakan slow-shutter.




 

Perjalanan diteruskan dengan menyusuri Sungai Li dalam cuaca yang amat sejuk.

Kelihatan sebuah kapal besar. Saya merasakan ini adalah cruise mewah dari Guilin. Saya tidak memilih cruise ini kerana lebih gemarkan cara berakit ini disamping harganya yang agak mahal.

Li River cruise
Jam 12:45 tengah hari, saya tiba di Xing Ping pier.

Penjual ikan dan udang goreng
 

Dengan tiket yang ada, saya boleh menaiki kenderaan dalam gambar di bawah ini ke pekan Xing Ping secara percuma!

Jam 2:00 petang, kenderaan tersebut membawa saya, rakan dan 2 pelancong Jepun ke pekan Xing Ping. Ia melalui kawasan kampung yang mana penduduknya mengusahakan tanaman limau.

Pokok limau
Rumah kampung yang dinding tidak bersimen
Dari pekan Xing Ping, saya menaiki bas tambang pula ke pekan Yang Shou. Tambangnya ialah 10 Yuan.

 

Ulasan

  1. Artikel menarik tentang sungai Li River. Berbagi artikel tentang Sungai Li di http://stenote-berkata.blogspot.com/2017/12/perjalanan-sepanjang-sungai-li.html
    Liat juga video di Youtube di : https://youtu.be/XSWPEBUfdHY

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Mengisi petrol di Thailand

Ligor yang Penuh Sejarah

Membawa Motosikal Malaysia Memasuki Vietnam