Ride & Chill 2017: AH, Jambatan Persahabatan



Roda Tuxedo terus bergolek dan bergolek menuju ke Nong Khai menggunakan Route 2 yang merupakan sebahagian daripada Asian Highway 12 (AH12). AH12 ini merupakan lebuh raya yang menganjur dari Laos ke Thailand melalui Jambatan Persahabatan I atau Friendship Bridge I. Jambatan yang menjadi perbualan hangat di media sosial beberapa bulan lepas apabila terdapat rider yang dihalang memasuki Laos melalui pintu sempadan ini.

Mengikut Pelan A saya, sememangnya saya pun mahu mengelak menggunakan jambatan ini. Pada asalnya saya berniat untuk menggunakan pintu sempadan Bueng Kan-Paksan. Difahamkan feri di situ hanya beroperasi pada hari biasa (Isnin-Jumaat). Disebabkan itu, saya terpaksa meneruskan dengan Pelan B saya iaitu mencuba nasib di Jambatan Persahabatan I.

Dalam 50 km dari Udon Thani, saya pun tiba di Nong Khai. Urusan di pintu keluar Thailand ini berjalan lancar dan mudah. Setelah pasport saya dicop, saya pun memulangkan borang kastam.


Tidak lama selepas itu, saya pun berada di atas Jambatan Persahabatan I yang merentasi Sungai Mekong. 


Beberapa minit di atas jambatan, saya pun tiba di pintu sempadan Thanaleng, Laos. Masa ini debaran semakin terasa. Karenah birokrasi yang dicanangkan di group facebook mula menerjah masuk fikiran ini. Saya pun terus menuju bangunan imigresen, mengisi borang ketibaan dan menuju kaunter untuk urusan passport dan kastam.



Pegawai kastam menyemak di dalam sistem dan mendapati Tuxedo tidak pernah melalui Friendship Bridge I. Saya diberikan borang dan kemudian diarahkan ke bilik 105. Saya pun mengisi borang tersebut dan menemui pegawai di bilik tersebut. Sebaik meneliti borang yang saya berikan, perkara pertama yang minta adalah surat kebenaran daripada Kedutaan Laos di Kuala Lumpur. Sememangnya saya tidak memohon daripada kedutaan tersebut. Saya pun memberitahu bahawa saya tiada surat berkenaan. Kemudian mereka menyemak geran motor dan mendapati CC Tuxedo adalah bawah 150 cc. Mereka mengarahkan saya untuk berpatah balik ke Thailand. Perkara yang memang saya sudah jangka dari awal. Namun, saya memohon untuk membuat rayuan. Mereka mengarahkan saya naik ke bilik 199 untuk berbincang pegawai kanan di situ.

Saya pun terus berjumpa pegawai tersebut, menyerahkan borang dan berbincang dengan beliau dalam bahasa Laos-Thai. Beliau pun pada asalnya berat untuk memberi kebenaran saya masuk Laos. Selepas meyakinkan beliau bahawa saya hanya rider tunggal, akhirnya beliau membenarkan saya masuk. Beliau membuat catatan pada borang saya dan mengarahkan pegawai kastam di kaunter memberi kebenaran masuk.



Syukur kerana terlepas satu halangan dan igauan memasuki Laos melalui Jambatan Persahabatan. Pasport saya dicop dan borang kastam berwarna hijau dicetak. Harga dikenakan 300 Baht. Selepas itu, lampu Tuxedo ditutup dengan kad hitam kerana peraturan di Laos melarang kenderaan awam memasang lampu pada waktu siang. Selepas itu, saya pun meninggalkan pintu sempadan Thanaleng dengan perasaan yang girang gembira. 



Laluan dalam catatan ini:


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Mengisi petrol di Thailand

Ligor yang Penuh Sejarah

Membawa Motosikal Malaysia Memasuki Vietnam